Pengikut

banner

03 August 2009

Pendidikan Prasekolah

Kanak-kanak Perlu Kuasai Kemahiran Asas Sebelum Masuk Persekolahan Formal

PENDIDIKAN prasekolah penting bagi membolehkan kanak-kanak menguasai pengetahuan dan kemahiran asas sejak awal.

Kanak-kanak perlu kuasai pengetahuan, kemahiran asas sebelum memasuki alam persekolahan formal MENJADIKAN prasekolah sebahagian daripada sistem pendidikan negara bagi mengukuhkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak sejak awal wajar kerana ia bukan saja dapat mencapai matlamat itu, malah mengimbangi penguasaan pengetahuan asas ketika mereka memasuki alam persekolahan formal. Fenomena kini, ada sebahagian murid tidak menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) sekalipun sudah belajar di Tahun Enam kerana ketinggalan dalam pembelajaran, antara lain dikatakan berpunca pencapaian dan penguasaan kemahiran berbeza sejak memasuki Tahun Satu lagi.

Sehubungan itu, pelaksanaan prasekolah untuk semua kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan sebenar disifatkan mampu membantu perkembangan pendidikan seterusnya, di samping memudahkan proses pengajaran guru di bilik darjah. Langkah itu juga memberi kesedaran pelbagai pihak, terutama ibu bapa supaya mementingkan pendidikan awal serta mengubah sikap mereka sebelum ini yang memandang ringan terhadap keperluan memberi pendidikan itu. Kepentingan pendidikan prasekolah tidak dinafikan seperti kata tokoh akademik, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, ia adalah permulaan memasuki dunia pendidikan yang mampu memberi kesan positif kepada proses tumbesaran.


Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, usaha kerajaan itu adalah langkah pembaharuan terhadap perkembangan pendidikan prasekolah negara. Malah beliau yakin ia mampu melahirkan murid lebih matang apabila memasuki alam persekolahan, sekiranya penambahbaikan dilakukan terhadap kurikulum dan tenaga pengajar pendidikan peringkat berkenaan. Bagi mencapai matlamat itu, beliau berkata, keperluan prasarana bagi memenuhi keperluan pendidikan prasekolah juga wajar ditingkatkan dengan memberi keutamaan kawasan luar bandar. “Kita tidak mahu jurang antara kawasan bandar dan luar bandar semakin melebar jika kemudahan prasarana prasekolah tidak diagihkan dengan seadil-adilnya.

“Sekiranya wujud kekangan dari segi peruntukan sekali pun, kerajaan harus memastikan kawasan luar bandar menerima akses kemudahan itu terlebih dulu berbanding bandar. “Aspek penyediaan guru prasekolah yang berwibawa juga penting bagi memastikan amalan dan pendekatan pengajaran yang kreatif dan menyeronokkan sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak,” katanya kepada Berita Harian. Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan bahawa kerajaan bakal melaksanakan prasekolah bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak sejak awal. Mengenai perkembangan prasekolah semasa, pelbagai pihak menjalankan program pendidikan peringkat berkenaan, antaranya iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Berdasarkan perangkaan, Kementerian Pelajaran melaksanakan program prasekolah di lebih 3,000 daripada kira-kira 7,000 sekolah rendah seluruh negara. Sementara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat pula menyediakan 8,316 Taman Bimbingan Kanak-kanak bagi memastikan kanak-kanak luar bandar tidak tercicir dalam pendidikan awal. Ia juga banyak disediakan pihak swasta bagai cendawan tumbuh selepas hujan dengan mewujudkan kemudahan itu hampir di setiap kawasan perumahan terutama di bandar.

Dari segi keseragaman penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas pula, Guru Tahun Satu, Sekolah Kebangsaan USJ 20, Subang Jaya, Selangor, Zurihan Mohd Yusoff, berkata prasekolah penting bagi menentukan perkembangan pendidikan seterusnya. Beliau berpengalaman 20 tahun mengajar murid Tahun Satu berkata, kanak-kanak perlu mendapatkan pendidikan prasekolah kerana ia memantapkan keupayaan dan persediaan mereka memasuki alam persekolahan formal. Sambil mengakui wujud perbezaan ketara antara kanak-kanak mengikuti prasekolah berbanding yang tidak menerima pendedahan itu ketika memasuki Tahun Satu, beliau berkata: “Murid gagal menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dengan baik dikenal pasti adalah mereka yang tidak mengikuti prasekolah.
“Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa mengikuti kelas pemulihan bagi menguasai kemahiran berkenaan. “Pada masa sama, mereka juga berdepan dengan kesukaran untuk bersosial antaranya bersikap malu dan takut bergaul dengan rakan lain.” Berbanding murid mengikuti prasekolah, Zurihan berkata, mereka lebih berani, selesa, mudah mengikuti proses pembelajaran, mampu berkomunikasi dengan baik, selain menguasai kemahiran asas. Justeru katanya, usaha kerajaan itu mampu mengubah situasi berkenaan, sekali gus membantu kanak-kanak lebih bersedia memasuki Tahun Satu dan mengatasi masalah penguasaan 3M.

bee