Cerdaskan Minda Si Kecil
Minda cergas mampu membentuk peribadi anak-anak cemerlang apabila dewasa nanti. Jika anda ingin berkongsi cara untuk mencergaskan minda anak ikuti beberapa cadangan NORHASLIZA YUSOFF seperti di bawah.
Sediakan ruang untuk si kecil menunjukkan bakatnya! Lazimnya pada usia sebegini, si kecil suka menconteng, malah mungkin dinding rumah anda! Namun, galakkannya dengan menconteng di atas kertas. Sediakan juga peralatan melukis seperti krayon, berus air atau pencil warna. Namun pastikan si kecil di awasi oleh anda ketika menggunakan peralatan ini. Bimbang jika dimasukkan
ke dalam mulutnya! Melihat hasil kerjanya, anda mesti memberi pujian walaupun tidak mengetahui apa yang ingin dilukiskannya. Tampalkan hasil kerjanya, mungkin pada peti ais, papan menampal atau digantung dalam biliknya.
Kanak-kanak adalah individu yang sentiasa meneroka alam persekitarannya. Pernahkah anda melihat si kecil mengeluarkan dan memasukkan mainan dalam sesuatu bekas. Ini adalah kemahiran yang lazim terjadi dalam perkembangan si kecil. Selalunya mengeluarkan barang akan terjadi lebih dulu daripada memasukkan ke dalam kotak. Ajarlah kepadanya bagaimana untuk memasukkan benda-benda tersebut sehingga dia mahir. Biarkan si kecil melakukan aktiviti itu, kerana ia mampu merangsang mindanya. Bagaimanapun jangan lupa faktor keselamatan iaitu pastikan barang permainan itu tidak terlalu kecil sehingga boleh tertelan. Pilihlah barang mainan yang besar dan lembut (tidak tajam) supaya si kecil selamat ketika bermain.
Anak kecil mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dalam penerokaannya. Memberi pendedahan melalui objek barang mainan yang mempunyai pelbagai saiz dapat merangsang mindanya. Biarpun anak anda masih belum dapat menyebut objek itu, tetapi dia sudah boleh diajar untuk mengenal objek itu. Berikan galakkan kepadanya dengan memberikan permainan sebegini untuk dia memahami bahawa permainan mempunyai pelbagai saiz dan warna. Anak yang diberi pendedahan mengenai warna dapat membantunya belajar mengenai dalam kehidupannya. Di samping itu, sediakan permainan yang melatih kemahiran halus si kecil. Antara contoh permainan ialah memasukkan objek dalam lubang dengan tepat.
Permainan jenis ini juga melatih kemahiran tangan, dan warna.
Di mana jua tempat, anda boleh aktifkan minda si kecil. Ketika si kecil mandi, sediakan barang mainan yang mempunyai unsur-unsur pendidikan kepadanya. Itik plastik dan bola kecil adalah antara permainan yang mempunyai pelbagai bentuk dan konsep tersendiri. Biarkan si kecil bermain air, tetapi dengan pengawasan anda. Ini kerana ada pendapat mengatakan bahawa anak
yang gemar bermain mampu memberi keberanian dalam dirinya. Dengan ini jelas bahawa permainan air bukan sahaja menyediakan kegembiraan untuk si kecil tetapi mengajarnya mengenai keyakinan diri.
“Kalau rasa gembira tepuk tangan! Kalau rasa gembira hentak kaki!...” Ini adalah antara bait-bait lagu tradisional yang biasa kita. Namun tanpa kita sedar bahawa ia merupakan salah satu bentuk pengajaran yang dapat merangsang minda si kecil. Jika anda menepuk tangan sambil menyanyikan lagu, anak pula diajak sama untuk mengikuti. Begitu juga dengan pergerakan lain. Anda buat dan anak akan mengikut selepas itu. Jika sering melakukan secara konsisten,
anak akan mengikuti tanpa harus dipaksa dan akhirnya dia akan sanggup untuk melakukan permainan itu dengan sendirian tanpa perlu mengikut anda. Cubalah!
No comments:
Post a Comment