Pengikut

banner


Showing posts with label Isu Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Isu Pendidikan. Show all posts

21 October 2009

Pos Malaysia Keluarkan Setem Bertemakan Kanak-Kanak

ARKIB : 06/10/2009

KUALA LUMPUR 6 Okt. — Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan setem dan sampul surat hari pertama yang bertemakan kanak-kanak dalam usaha menyedarkan masyarakat negara ini terhadap hak yang perlu ada pada kanak-kanak seperti yang digariskan oleh Tabung Pendidikan Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Ketua Setem dan Filateli Pos Malaysia, Yasmin Ramli berkata, pihaknya telah mencetak lima visual setem yang berkaitan dengan hak kanak-kanak, iaitu empat visual bagi setem berharga 30 sen dan satu visual bagi setem berharga RM1, yang akan mula dijual Jumaat ini.

“Ia merangkumi ’Hak untuk bermain’, “Hak Mendapat Makanan’, Hak Mendapat Pendidikan’, ’Hak Mendapat Perlindungan’, bagi setem 30 sen, dan visual ’Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak’ bagi setem RM1.

“Kita telah mencetak sebanyak 800,000 setem berharga 30 sen, 120,000 setem berharga RM1, 45,000 untuk sampul surat hari pertama dan 1,000 cetakan bagi folder,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setem serta sampul surat hari pertama itu bertemakan Masyarakat Penyayang Memberi Kanak-Kanak Hak Mereka.-Bernama

Dipetik daripada:

Utusan Malaysia

Program Seni, Muzik Dalam Permata

ARKIB : 11/10/2009

ROSMAH Mansor bersama Shuji Ito (lima dari kiri ) bergambar bersama-sama peserta pertandingan peringkat akhir Festival Electone Asia Pasifik 2009 yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 10 Okt. - Pusat Anak Permata Negara (Permata) akan memperkenalkan program yang berbentuk seni dan muzik dalam sebahagian programnya.

Sehubungan itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pihaknya sedang mengadakan kerjasama dengan Istana Budaya bagi merancang projek yang akan diberi nama Permata Seni itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata berkata, program Permata Seni akan disertai seramai 30 hingga 40 orang kanak-kanak berusia dari sembilan hingga 15 tahun yang mempunyai bakat dan minat dalam muzik.

"Kanak-kanak ini akan diberi peluang menjalani latihan istimewa dengan pemuzik profesional dari luar selama dua minggu pada Disember ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Electone Asia Pasifik 2009 di sini hari ini.

Hadir sama Duta Besar Jepun ke Malaysia Masahiko Horie dan isterinya Yoke Horie serta Presiden Yayasan Yamaha Music, Shuji Ito.

Festival Electone Asia Pasifik 2009 ini merupakan program tahunan Yamaha Music dan pada tahun ini, Malaysia merupakan tuan rumah.

Rosmah menambah, kanak-kanak di bawah Permata akan diberi peluang untuk menggunakan beberapa peralatan muzik seperti piano.

"Muzik merupakan sebahagian dalam hidup kita dan saya percaya melalui muzik ia akan menyatukan kita.

"Menjadi harapan saya supaya program Permata Seni ini akan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memperkembangkan potensi dan bakat mereka," jelasnya.

Dipetik daripada:

Utusan Malaysia

Beri Tumpuan Kepada Pendidikan Awal Anak-Anak - Hasni

ARKIB : 12/10/2009

PONTIAN 11 Okt. - Ibu bapa digesa mengguna peluang pendidikan yang disediakan oleh kerajaan untuk memberi ilmu kepada anak-anak mereka seawal usia lima dan enam tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, institusi pendidikan pra sekolah yang dikendalikan oleh jabatan dan agensi kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tenaga pengajar yang berkemahiran dan berpengalaman.

"Peluang pendidikan pra sekolah akan membantu kanak-kanak mendapat ilmu asas membaca, menulis dan mengira sebelum mereka memasuki alam persekolahan sebenar.

"Selain itu ia juga memberi mereka peluang untuk bergaul dan berinteraksi sesama rakan sebaya serta menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di kelas," katanya pada majlis penyampaian hadiah dan sambutan Hari Raya Aidilfitri Tabika Kemas Kampung Parit Semerah dan Pontian Besar Kiri di Hotel Pontian di sini semalam.

Turut hadir Penyelia Perhubungan Kemas Parlimen Pontian, Rahmat Abdullah; Penyelia Pendidikan Pra Sekolah Kemas Parlimen Pontian, Foziah Sairi dan Pengerusi Tabika Kemas Kampung Pontian Besar Kiri, Abdullah Sahadan.

Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, pendidikan pra sekolah kini diberikan perhatian oleh kerajaan bagi memastikan kanak-kanak seawal usia lima dan enam tahun mengikuti pendidikan tersebut.

"Ini sebenarnya menjadi harapan dasar pendidikan negara yang sentiasa bergerak sejajar dengan keperluan guna tenaga pada masa depan serta daya saing di peringkat global," ujarnya.

Justeru, beliau meminta ibu bapa turut memberi tumpuan pada aspek tersebut, ibarat kata pepatah 'melentur buluh, biar daripada rebung'.

Beliau berkata, penguasaan ilmu pada masa ini tidak terbatas kepada golongan tertentu sahaja tetapi semua pihak perlu diberikan kesempatan termasuk mereka yang kurang berkemampuan.

Dipetik daripada:

Utusan Malaysia

15 October 2009

Format ADaP Patuhi Transformasi Pendidikan 2010

ARKIB: 15/04/2009

OLEH WAHID HASHIM


WAHID Hashim menunjukkan cara membuat dokumentasi lembaran kerja daripada akhbar Utusan Malaysia sebagai bahan Alat Bantu Mengajar di IPGM Kampus Ipoh Perak, baru-baru ini.

AKHBAR Dalam pembelajaran (ADaP) , yang pada tahun ini menyisipkan konsep dan pendekatan transformasi pendidikan 2010 – dengan memberi sentuhan penilaian berasaskan sekolah –terbukti membantu dan memudahkan pembangunan instrument dan rubrik sahsiah dan potensi murid di sekolah.

Bagi pelatih maktab, pensyarah dan para pentadbirnya, serta guru sekolah dan pelajar, mereka bukan setakat menerima sisipan itu sebagai alat bantu mengajar (ABM), malah bercadang menggunakannya sebagai pelengkap kepada kurikulum standard sekolah rendah, serta sepertimana digariskan dalam transformasi pendidikan dan pentaksiran futuristik.

Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Ipoh, Abdul Kadir Basiran berkata, sisipan ADaP telah dilaksanakan hasil kerjasama media cetak iaitu Utusan Malaysia dengan pelbagai rangkaian Kementerian Pelajaran bertujuan menjadikan akhbar sebagai bahan pengajaran di bilik darjah.

Kata beliau, kaedah menggunakan akhbar sebagai bahan bantu mengajar merupakan cara yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan menjadikan murid tidak cepat bosan dan jemu.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kursus Motivasi dan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) Guru Sekolah-Sekolah Pedalaman (Program Pensiangan Salinatan) Tahun 2009 diadakan di Dewan Seri Melati , IPGM Ipoh, Perak bermula 8 pagi sehingga 5 petang.

Lebih 100 guru, pelatih maktab dan pensyarah engikuti program berkenaan.

SEBAHAGIAN daripada guru yang mengikuti Kursus Motivasi dan ADaP Guru Sekolah-Sekolah Pedalaman (Program Pensiangan Salinatan Tahun 2009) di IPGM Kampus Ipoh Perak, baru-baru ini.


Program diadakan atas inisiatif Jabatan Imu Pendidikan dengan kerjasama Utusan Malaysia. Program dkendalikan sepenuhnya oleh Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan pakar motivasi yang juga pensyarah kanan di IPGM Kampus Ipoh, Dr. Ismail Zain.

Oleh itu kata beliau, semua pihak terutama guru haruslah dapat menggunakan semua maklumat yang terdapat dalam akhbar bagi membantu guru dalam proses pengajaran dna pembelajaran dan memperoleh ilmu.

``Beberapa pendekatan pedagogi seperti pembelajaran ikuiri dapat diaplikasikan dengan gandingan bahan akhbar,’’ katanya.

Pendekatan ini berguna kepada guru untuk melatih murid menyiasat dan bertanya soalan secara berpandu ketika menggunakan akhbar sebagai bahan ba ntumengajar, kata Abdul Kadir

``Program ini juga saya yakin akan dapat memberi pendedahan kepada guru kenapa akhbar digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran,’’ tambah beliau.

Beliau mememtik Prof. Edward F. De Roche, University San Diego, USA, bahawa penggunaan ADaP telah berkembang sejak tahun 1930an lagi. ADaP dapat membantu perkara berikut:

1. Pengajaran menarik

2. Merentasi kurikulum

3. Mengubah suasasana dan pesekiataran be;ajar

4. Mengubah pengajaran yang berpusatkan guru

5. Membantu membina kemahiran belajar

6. Keperluan penerapan nilai-nilai murni

7. Motivasi

8. Pembentukan pemikiran yang berkonsepkan globalisasi

9. Membina daya kreativiti dan kemahiran berfikir

Oleh sebab itu, tamah beliau, ADaP dapat menyumbang peranan bagi menjayakan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan menghayati Falsafah Pendidikan Negara melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Berseadu Sekolah Menengah (KBSM).

``Walau bagaimanapun saya ingin tegaskan di sini bahawa pededahan ADaP ini tidak bermakan kita membelakangkan straegi dan pendekatan lain yang telah dilaksanakan selanma ini di sekolah-sekolah,’’ tegas beliau.

Bagi beliau, kejayaan pelksanaan setiappendekatan dan strategi adalah bergantung sepenuhnya kepada kemahiran guru mengenal pasti kumpulans asaran guru itu sendiri.

Timbalan Pengarah IPGM Kampus Ipoh, Mohamed Isa khalid berkata, ADaP menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik.

Melalui program ini, pelatih maktab sebenarnya telah membuat in-house training dan mereka perulah menyebarkan ilmu yang diperolehi itu kepada rakan guru yang lain.

Ketau Jabatan Ilmu IPGM Kampus Ipoh, Radiah Idris berharap program berkenaan dapat memberi input baru dalam meningkatkan kemahiran dan keterampilan berdasarkan Four Pillars of Learning iaitu:

1. Learning to know

2. Learning to do

3. Leraning to be

4. Learning to live together

Beliau membritahu, tuntutan abad ke -21 menuntut kepada guru untuk memiliki dan mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Kaya maklumat

2. Kekuatan minda

3. Nilai-nilai luhur dan murni

4. Semangat jai diri, jaya diri dan keusahawanan dan

5. Keterampilan

Sekolah yang hadirpada program tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasukan Polis Hutan (Ulu Kinta) , SK Pos Bersih (Slim River), SK Kampung Kenang (Sungai Siput), SK Pos Poi, SK Ulu Geruntum SK Padang Tenggala.

Turut hadir ialah pelatih maktab, pelajar Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dan para pensyarah IPGM Ipoh.

Program sehari itu diisi dengan sesi taklimat tentang Akhbar Dalam pembelajaran (ADaP), motivasi, perbengkelan dan pembelantangan.

Perbengkelanmenggunakan modul yang dikhussunkan untuk modul guru – iaitu guru menganalisis keperluan yang baik bagi penyajian terbaik bahan dalam akhbar melalui Lembaran Aktiviti Pembelajaran ADaP dan proses dokumentasi lembaran kerja daripada akhbar Utusan Malaysia.

Guru Besar SK Pasukan Polis Hutan Ulu Kinta, Perak, Rosida Mohd Sainee berkata:

``Saya dapati pembelajaran gaya ADaP sangat baik dan selari dengan konsep penerapan secara kritis dan kreatif.’’

Katanya, pengunaan akhbar sangat releven kerana bahan yang disajikan merupakan yang terbaru dan sekali gus dapat mengemas kini pengetahuan pelajar dan guru.

``Murid akan mejadi lebih peka dengan persekitaran mereka , dan mendapat maklumat terkini, seperti perlantikan Perdana Menteri yang baru (Datuk Seri Najib Tun Razak),’’ katanya.

Aktiviti mengunakan akhbar dalam pembelajaran juga akan menjurus kepada pemupukan minat membaca, dan hal ini akan dapat membuka minda warga sesebuah sekolah.

Beliau berkata, format persembahan ADaP adalah selari dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah – kurikulum transformasi yang kini diuji rintis diseklahnya, yang merupakan salah sebuah daripada hampir 500 buah sekolah yang diuji rintis.

Katanya konstruk, perkara yang dinilai, serta keperluan penilaian emosi dan jasmani terkandung di dalam sisian ADaP sekoalh rendah.

Secara umumnya, kata Rosida, KSSR ialah agihan 70 peratus penilaian berasaskan sekolah dan 20 peratus peperiksaan bertulis.

Menurut beliau, kandungan ADaP yang ada pada hari ini lebih baik daripada yang sebelum ini, kerana pendekatan penyampaian serta keperihatinan pihak redaksinya menyisipkan komponen kurikulum dan pentasiran tahun 2010 yang berciri futuristik.

Sebagai guru besar, dia akan menggunakan instrument penilaian pelajar berdasarkan modul pembangunan modal insan di dalam ADaP untuk skop penilaian berasaskan sekolah yang disediakan untuk setiap topic sesuatu mata pelajaran.

``Sebelum ini kita ada menjalankan penilaian berasaskan sekolah berdasarkan pengamatan umum seseorang guru sahaja tanpa instrumen yang boleh dijadikan rujukan.

``Kalau melihat kepada rubrik dan instrumen yang disediakan di dalam sisipan ADaP itu, kami mendapati ia boleh digunakan dan sesuai sebagai permulaan kepada KSSR dan transformasi pentaksrian 2010,’’ kata Rosida.

Dipetik daripada:

Utusan Malaysia

Asrama Prasekolah

ARKIB : 03/10/2009

Asrama prasekolah RM2j di Semporna

SEMPORNA 2 Okt. - Sebuah asrama pendidikan prasekolah bernilai RM2 juta untuk menempatkan murid miskin dari pulau-pulau sekitar daerah ini akan dibina tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, apabila siap kelak, asrama yang pertama seumpamanya di negara ini akan menempatkan sehingga 80 murid prasekolah pada satu-satu masa.

"Penyediaan kemudahan asrama berkenaan adalah salah satu usaha bagi menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak pulau supaya mereka memperolehi pendidikan seperti rakan mereka di bandar.

"Kita tahu ramai ibu bapa sukar menghantar anak-anak ke prasekolah kerana ada pulau yang agak jauh dan perlu menaiki bot serta mengambil masa agak lama untuk keluar dari pulau berkenaan.

"Untuk memudahkan anak-anak mereka mendapat pendidikan prasekolah, kita bina asrama ini yang bernilai RM2 juta," katanya.

Mohd. Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada 175 ketua isi rumah miskin tegar melalui Program Tambahan Makanan Seimbang (PTMS) peringkat daerah Semporna, di sini baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Ramli Marhaban dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Kata Mohd. Shafie, asrama berkenaan akan berfungsi seperti asrama biasa dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti makanan, kemudahan pembelajaran serta kemudahan tuisyen kepada penghuninya.

Menurutnya, ibu bapa murid yang ditempatkan di asrama yang dilengkapi dengan penjaga berkenaan, digalakkan melawat anak-anak mereka setiap minggu untuk mengetahui perkembangan anak masing-masing.

Beliau menambah, penubuhan tadika berasrama itu selari dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan anak-anak di semua peringkat, termasuk dari kawasan luar bandar mendapatkan pendidikan bermutu di peringkat awal.

Katanya, kementerian sedia memperluaskan tadika berasrama berkenaan ke kawasan lain di negara ini sekiranya mendapat permintaan.

Mohd. Shafie berkata, selain itu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang terletak di bawah kementeriannya akan mewujudkan Pusat Infodesa di Semporna bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak luar bandar terhadap teknologi maklumat dan komunikasi.

Katanya, kos pembinaan pusat yang bakal dibekalkan dengan 25 unit komputer itu ialah sebanyak RM1 juta dan apabila beroperasi kelak, ia akan memudahkan kanak-kanak luar bandar untuk mengakses dengan kemudahan berkenaan.

Dipetik daripada:

Utusan Malaysia

12 October 2009

Transformasi Pendidikan

Transformasi pendidikan: mampukah ia dijayakan?

Oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

SEPERTI yang diumumkan usaha melaksanakan transformasi kurikulum dan pentaksiran telah bermula secara rintis bermula di peringkat prasekolah dan Tahun Satu di sekolah yang sama. Sebanyak 50 buah sekolah terlibat pada tahun 2008 dan 500 buah lagi dijangka terlibat dalam tahun 2009. Ujian rintis bagi tingkatan satu pula dijangka bermula pada tahun 2010. Sekiranya tidak terdapat sebarang masalah yang rumit, mungkin ia akan dilaksanakan di prasekolah dan tahun satu pada tahun 2010 dan tingkatan satu pada tahun 2012.

Boleh dikatakan proses ransformasi ini agak kompleks kerana ia melibatkan dua bahagian yang paling penting dalam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), iaitu Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Bagi memastikan kejayaannya, mahu tidak mahu, kedua-dua bahagian ini perlu berkerja sama secara erat dan efektif. Keduanya juga perlu jujur dengan dapatan masing-masing bagi memastikan rumusan yang terbaik dapat dibuat bagi menjamin masa depan anak-anak kita di sekolah.

Dari segi konsep, difahamkan bahawa transformasi kurikulum melibatkan aspek pengkajian semula kurikulum agar seimbang, bersifat holistik dan tidak terlalu akademik atau membebankan. Konsepnya masih berlandaskan prinsip-prinsip Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bentuk kurikulum ini dibahagikan kepada Enam Tunjang Pembelajaran, iaitu aspek komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusiaan, literasi sains dan teknologi, fizikal dan estetika serta ketrampilan diri.

Difahamkan juga akan terdapat sedikit perbezaan dari segi susunan kandungan kurikulum pada setiap tahap pembelajaran. Bagaimanapun perbezaan yang paling ketara adalah dari aspek organisasi kurikulum. Dalam KBSR, misalnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) diasaskan kepada hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian SP manakala dalam transformasi, ia akan dilaksanakan berasaskan standard kandungan (perkara yang murid patut ketahui) dan standard pembelajaran (satu penetapan kriteria yang perlu dicapai oleh murid). Kurikulum di sekolah akan disusun dalam bentuk yang modular dan mungkin melibatkan penyusunan semula jadual waktu di sekolah.

Begitupun transformasi kurikulum ini tidak akan berjaya jika ia berjalan secara sendirian. Oleh kerana ia akan dilaksanakan berdasarkan standard kandungan (standard based), bukan lagi secara berdasarkan hasil (outcome based), maka elemen yang amat penting untuk dilaksanakan serentak adalah pentaksiran.

Hanya melalui kaedah pentaksiran yang baik, guru dapat menentukan tahap penguasaan murid terhadap modul-modul yang telah dilaksanakan. Kemahiran guru diperlukan untuk mengenal pasti murid yang bermasalah dan kesabaran guru diperlukan untuk memastikan murid ini tidak ketinggalan berbanding murid-murid yang lebih maju di dalam kelas dan berjaya menguasai pengetahuan dan kemahiran yang disampaikan. Bagi memastikan ini dapat dilaksanakan dengan baik, KPM perlu memberikan tumpuan terhadap usaha melatih semula guru-guru dan mempersiapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran baru yang diperlukan.

Bahan sokongan seperti bahan multimedia, buku panduan guru dan buku aktiviti yang sesuai perlu disediakan. Ia melibatkan implikasi perjawatan bagi memastikan pembangunan dan pelaksanaan transformasi ini dapat terlaksana mengikut tempoh dirancang selain implikasi kewangan untuk mengadakan penanda arasan, pembinaan bahan, uji rintis, kajian semula geran per kapita PCG) dan latihan guru.

Akhir sekali, pengalaman dan kelemahan pelaksanaan dasar-dasar yang besar sebelum ini seperti KBSR, Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) serta program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar transformasi ini beroleh kejayaan di masa hadapan.

Dipetik daripada;

Utusan Malaysia

30/09/2009

03 August 2009

Pendidikan Prasekolah

Kanak-kanak Perlu Kuasai Kemahiran Asas Sebelum Masuk Persekolahan Formal

PENDIDIKAN prasekolah penting bagi membolehkan kanak-kanak menguasai pengetahuan dan kemahiran asas sejak awal.

Kanak-kanak perlu kuasai pengetahuan, kemahiran asas sebelum memasuki alam persekolahan formal MENJADIKAN prasekolah sebahagian daripada sistem pendidikan negara bagi mengukuhkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak sejak awal wajar kerana ia bukan saja dapat mencapai matlamat itu, malah mengimbangi penguasaan pengetahuan asas ketika mereka memasuki alam persekolahan formal. Fenomena kini, ada sebahagian murid tidak menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) sekalipun sudah belajar di Tahun Enam kerana ketinggalan dalam pembelajaran, antara lain dikatakan berpunca pencapaian dan penguasaan kemahiran berbeza sejak memasuki Tahun Satu lagi.

Sehubungan itu, pelaksanaan prasekolah untuk semua kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan sebenar disifatkan mampu membantu perkembangan pendidikan seterusnya, di samping memudahkan proses pengajaran guru di bilik darjah. Langkah itu juga memberi kesedaran pelbagai pihak, terutama ibu bapa supaya mementingkan pendidikan awal serta mengubah sikap mereka sebelum ini yang memandang ringan terhadap keperluan memberi pendidikan itu. Kepentingan pendidikan prasekolah tidak dinafikan seperti kata tokoh akademik, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, ia adalah permulaan memasuki dunia pendidikan yang mampu memberi kesan positif kepada proses tumbesaran.


Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, usaha kerajaan itu adalah langkah pembaharuan terhadap perkembangan pendidikan prasekolah negara. Malah beliau yakin ia mampu melahirkan murid lebih matang apabila memasuki alam persekolahan, sekiranya penambahbaikan dilakukan terhadap kurikulum dan tenaga pengajar pendidikan peringkat berkenaan. Bagi mencapai matlamat itu, beliau berkata, keperluan prasarana bagi memenuhi keperluan pendidikan prasekolah juga wajar ditingkatkan dengan memberi keutamaan kawasan luar bandar. “Kita tidak mahu jurang antara kawasan bandar dan luar bandar semakin melebar jika kemudahan prasarana prasekolah tidak diagihkan dengan seadil-adilnya.

“Sekiranya wujud kekangan dari segi peruntukan sekali pun, kerajaan harus memastikan kawasan luar bandar menerima akses kemudahan itu terlebih dulu berbanding bandar. “Aspek penyediaan guru prasekolah yang berwibawa juga penting bagi memastikan amalan dan pendekatan pengajaran yang kreatif dan menyeronokkan sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak,” katanya kepada Berita Harian. Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan bahawa kerajaan bakal melaksanakan prasekolah bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak sejak awal. Mengenai perkembangan prasekolah semasa, pelbagai pihak menjalankan program pendidikan peringkat berkenaan, antaranya iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Berdasarkan perangkaan, Kementerian Pelajaran melaksanakan program prasekolah di lebih 3,000 daripada kira-kira 7,000 sekolah rendah seluruh negara. Sementara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat pula menyediakan 8,316 Taman Bimbingan Kanak-kanak bagi memastikan kanak-kanak luar bandar tidak tercicir dalam pendidikan awal. Ia juga banyak disediakan pihak swasta bagai cendawan tumbuh selepas hujan dengan mewujudkan kemudahan itu hampir di setiap kawasan perumahan terutama di bandar.

Dari segi keseragaman penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas pula, Guru Tahun Satu, Sekolah Kebangsaan USJ 20, Subang Jaya, Selangor, Zurihan Mohd Yusoff, berkata prasekolah penting bagi menentukan perkembangan pendidikan seterusnya. Beliau berpengalaman 20 tahun mengajar murid Tahun Satu berkata, kanak-kanak perlu mendapatkan pendidikan prasekolah kerana ia memantapkan keupayaan dan persediaan mereka memasuki alam persekolahan formal. Sambil mengakui wujud perbezaan ketara antara kanak-kanak mengikuti prasekolah berbanding yang tidak menerima pendedahan itu ketika memasuki Tahun Satu, beliau berkata: “Murid gagal menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dengan baik dikenal pasti adalah mereka yang tidak mengikuti prasekolah.
“Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa mengikuti kelas pemulihan bagi menguasai kemahiran berkenaan. “Pada masa sama, mereka juga berdepan dengan kesukaran untuk bersosial antaranya bersikap malu dan takut bergaul dengan rakan lain.” Berbanding murid mengikuti prasekolah, Zurihan berkata, mereka lebih berani, selesa, mudah mengikuti proses pembelajaran, mampu berkomunikasi dengan baik, selain menguasai kemahiran asas. Justeru katanya, usaha kerajaan itu mampu mengubah situasi berkenaan, sekali gus membantu kanak-kanak lebih bersedia memasuki Tahun Satu dan mengatasi masalah penguasaan 3M.

bee