Pengikut

banner


08 July 2009

Cara Pelihara Khasiat Sayur-Sayuran


Cara paling baik untuk mendapat khasiat sepenuhnya daripada sayur-sayuran ialah dengan memakannya sebaik sahaja selepas dimasak. Oleh sebab itu, apabila anda masak sayur-sayuran di rumah, masaklah dalam jumlah secukupnya untuk sekali hidangan.
Berbeza daripada lauk ikan atau daging, lauk sayur akan kehilangan banyak zat dan khasiatnya apabila dipanaskan semula selepas ia sejuk. Bukan itu saja, warna sayur-sayuran juga akan berubah menjadi pusam, lantas ia tidak menarik apabila dimasak terlalu lama atau diulang masak.
Sayur-sayuran hijau seperti bayam, cekur manis dan sawi batang putih sebaiknya dimasak berkuah. Tetapi kuahnya perlu didihkan terlebih dahulu, baru masukkan sayur dan masak selama kira-kira lima minit sahaja. sayur-sayuran seperti ini jika dimasak terlalu lama akan menjadi terlalu lembik dan tidak menyelerakan.
Sayur seperti kangkung dan tauge juga termasuk dalam kalangan sayur yang mudah lembik. Jadi, kedua-duanya perlu dicelur sahaja sebelum dimakan bersama rojak, dijadikan urap atau kerabu dan sebagainya. Begitu juga dengan kubis. Jika dimasak lemak atau lain-lain masakan berkuah yang sesuai, masukkan kubis hanya selepas kuah mendidih dan segera matikan api. Jika hendak dijadikan campuran dalam makanan seperti gado-gado atau dibuat urap, sebaiknya kubis dibersihkan dan dipotong, kemudian dicelur saja.
Cara terbaik untuk mendapatkan khasiat sayur-sayuran seperti brokoli, lobak merah dan kubis brussels yang tergolong dalam sayur-sayuran 'keras' ialah dengan dikukus sahaja, kemudian baru dimakan bersama pencecah yang sesuai. Jika besar, lobak merah hendaklah dikikis kulit arinya dan dibuang empulurnya. Jika ia kecil, tidak perlu dikikis kulit arinya. Cukup hanya buangkan kedua-dua belah hujungnya dan potonglah ikut saiz sesuai keperluan anda. Malah, lobak merah jenis putik atau babby carrot boleh dimasak langsung.
Sayur-sayuran yang dimakan mentah sebagai ulam sebaik-baiknya dicuci kemudian direndam sebentar dalam air batu, bari ditos dan dihidangkan. Ini dilakukan agar sayur-sayuran itu 'garing' dan enak dimakan.

No comments:

Post a Comment

bee