5 Cara Mendidik Anak Nakal
Ini adalah sedikit panduan kepada ibu bapa, penjaga, guru-guru dan pengasuh yang boleh dijadikan amalan. Bayangkan hanya dengan sedikit tindakan positif yang kita berikan secara konsisten in sha allah mampu mengubah persepsi, cara menangani dan mendidik anak-anak.
Berikan perhatian
Anak-anak sebegini sering membuat sesuatu sehingga sering menaikkan api kemarahan kita. Apabila keadaan ini berlaku, perkara penting yang perlu diingat ialah kita sebagai orang dewasa perlu bertindak bijak dan matang dengan bersabar, tenang dan cuba dapatkan semula perhatian mereka. Perlakuan sebegini sebenarnya sebagai petunjuk atau isyarat untuk menarik perhatian kita. Jika dikaji, terdapat sesuatu keinginan mereka yang mungkin belum dapat dipuaskan dan keadaan ini menyebabkan kadang kala mereka memberontak, mengganggu adik-beradik, membuat sesuatu di luar jangkaan dan sebagainya. Ambil peluang untuk kaji punca anak-anak berkelakuan sebegini. Dakaplah anak-anak sebegini dan katakan sayang kita kepada mereka. Lihatlah mata mereka. Berbincang dari hati ke hati agar emosi yang terpendam sekian lama dapat dilepaskan.
"Pandanglah dengan senyuman,
Pandanglah dengan penuh kasih sayang,
Pandanglah dengan memahami mereka masih belum mengerti,
Pandanglah dengan menerima segala kekurangan,
Pandanglah dengan perasaan untuk membantu,
Pandanglah dengan azam untuk mendidik agar menjadi insan berguna".
Ainul Amla binti Mohammad
Penghargaan
Dalam proses memperbaiki tingkah laku lama, anak-anak sebegini amat memerlukan penghargaan daripada insan-insan yang rapat dengan mereka untuk memberikan keyakinan agar terus melakukan perubahan baik. Penghargaan seperti kata-kata pujian, senyuman, layanan baik dan memberikan ganjaran seperti hadiah sebagai imbalan balik kepada perlakuan yang baik akan mendorong anak-anak ini untuk terus melakukan tingkah laku positif. Namun, ini bukan bermakna setiap kali perlakuan yang baik harus diberikan hadiah tetapi ia mungkin akan menjadi lebih bermakna sekiranya pemberian itu diberikan atas dasar perubahan perlakuan daripada tingkah laku atau kebiasaan yang sukar dibuang sebelum ini tapi telah berjaya digantikan dengan tingkah laku yang positif. Keadaan ini akan menjadi pemangkin dan pengekalan kepada tingkah laku positif yang baru.
Tidak Melabel Anak
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih, maka kedua ibu bapalah
yang akan menyebabkan anak ini menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi."
Semua anak-anak yang dilahirkan adalah anak yang baik, suci dan terhindar daripada unsur-unsur negatif. Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Namun, dalam proses pembesaran mereka, kita mungkin agak terleka dan agak sukar untuk menyekat terlalu banyak faktor-faktor luar yang mempengaruhi kemenjadian mereka. Faktor-faktor tersebut merujuk kepada persekitaran, jenis pemakanan dan corak didikan yang diberikan. Justeru, apabila kita berhadapan dengan anak yang dianggap nakal, jangan sesekali kita melabel anak-anak dengan label yang negatif. Label negatif yang seringkali diucap secara berulang kali akan memberikan suatu konsep pemahaman dan tanggapan diri anak terhadap dirinya. Keadaan ini akan memburukkan keadaan kerana anak tidak akan berminat untuk mengubah tingkah lakunya dan akan terus kekal sedemikian. Ia akan menjadi kepercayaan yang tertanam dalam minda anak-anak kita. Mereka akan sukar untuk mengikis kepercayaan ini dan apabila dewasa anak-anak akan menjadi seperti yang kita labelkan. Apabila ibu bapa berhadapan dengan situasi sebegini, perlu banyakkan bersabar dan cuba fahami kehendak anak. Anak-anak sebegini biasanya mempunyai hasrat/keinginan/kehendak yang tidak tercapai. Bantulah mereka untuk mencapai hasrat/keinginan/kehendak tersebut dengan memahami perasaan mereka selagi ia tidak bertentangan dengan nilai-nilai kehidupan.
Ucaplah kata-kata positif kepada mereka agar suatu hari nanti anak-anak akan berubah tingkah lakunya sedikit demi sedikit dan menjadi seperti kata-kata yang diucapkan.
"Kata-kata adalah suatu DOA. Kalau berkata baik, maka baiklah akan berlaku.
Kalau berkata buruk, maka sebaliknya akan berlaku."
Ustaz Kazim Elias
Pengasingan
Bagi tingkah laku yang negatif, anak-anak ini diberikan nasihat dan amaran agar tidak berbuat sedemikian. Jika keadaan berterusan, ambil barang kegemaran mereka dan asingkan mereka daripada rakan-rakan atau adik beradik yang lain. Situasi ini perlu diterangkan kepada mereka ketika diberikan amaran kali pertama sekiranya mereka masih enggan memberikan kerjasama agar mereka bersedia dari segi fizikal dan mental. Dalam tempoh pengasingan ini, ia memberikan peluang kepada anak-anak ini untuk berfikir akan tindakan positif dan negatif serta kesannya kepada diri mereka. Lazimnya apabila anak-anak sudah berada pada langkah pengasingan ini, anak-anak akan berasa serik dan tidak akan mengulangi tingkah laku yang tidak diingini. Cara ini boleh digunakan sebagai cara mendidik anak nakal yang terakhir.
Sering Berdoa
Berdoalah walau apa pun jenis agama dan mengikut kepercayaan masing-masing. Doa ibu bapa makbul. Setiap kali selesai solat atau sujud terakhir dalam solat, berdoa lah kepada Allah. Perincikan doa iaitu dengan menyebut nama dan sebutkan apa yang diingini atau harapan terhadap anak tersebut. Bagi ibu bapa yang beragama Islam, di sini saya kongsikan juga beberapa doa yang boleh dijadikan amalan.
- Surah Ash Syuraa Ayat 19
- Surah Toha Ayat 1-5
Setakat ini sahaja perkongsian 5 cara mendidik anak nakal. Diharap perkongsian ini dapat membantu ibu bapa dalam berhadapan dengan situasi anak-anak sebegini.
No comments:
Post a Comment