Pengikut

banner


21 October 2009

Beri Tumpuan Kepada Pendidikan Awal Anak-Anak - Hasni

ARKIB : 12/10/2009

PONTIAN 11 Okt. - Ibu bapa digesa mengguna peluang pendidikan yang disediakan oleh kerajaan untuk memberi ilmu kepada anak-anak mereka seawal usia lima dan enam tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, institusi pendidikan pra sekolah yang dikendalikan oleh jabatan dan agensi kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tenaga pengajar yang berkemahiran dan berpengalaman.

"Peluang pendidikan pra sekolah akan membantu kanak-kanak mendapat ilmu asas membaca, menulis dan mengira sebelum mereka memasuki alam persekolahan sebenar.

"Selain itu ia juga memberi mereka peluang untuk bergaul dan berinteraksi sesama rakan sebaya serta menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di kelas," katanya pada majlis penyampaian hadiah dan sambutan Hari Raya Aidilfitri Tabika Kemas Kampung Parit Semerah dan Pontian Besar Kiri di Hotel Pontian di sini semalam.

Turut hadir Penyelia Perhubungan Kemas Parlimen Pontian, Rahmat Abdullah; Penyelia Pendidikan Pra Sekolah Kemas Parlimen Pontian, Foziah Sairi dan Pengerusi Tabika Kemas Kampung Pontian Besar Kiri, Abdullah Sahadan.

Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, pendidikan pra sekolah kini diberikan perhatian oleh kerajaan bagi memastikan kanak-kanak seawal usia lima dan enam tahun mengikuti pendidikan tersebut.

"Ini sebenarnya menjadi harapan dasar pendidikan negara yang sentiasa bergerak sejajar dengan keperluan guna tenaga pada masa depan serta daya saing di peringkat global," ujarnya.

Justeru, beliau meminta ibu bapa turut memberi tumpuan pada aspek tersebut, ibarat kata pepatah 'melentur buluh, biar daripada rebung'.

Beliau berkata, penguasaan ilmu pada masa ini tidak terbatas kepada golongan tertentu sahaja tetapi semua pihak perlu diberikan kesempatan termasuk mereka yang kurang berkemampuan.

Dipetik daripada:

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

bee