Pengikut

banner


21 October 2009

Mencungkil Kanak-Kanak Pintar

Oleh ZULKIFLI JALIL dan THOMAS CHONG

pengarang@utusan.com.my

21/10/2009

SEKOLAH pintar Leonard De Vinci - 25 kilometer ke utara Paris - yang dikunjungi oleh Datin Seri Rosmah Mansor pada 6 Oktober lalu ada sejarah tersendiri.

Ia bermula pada September 1992 dengan seorang kanak-kanak bernama Bruno Lalande yang perilakunya agak berlainan dengan budak lain.

Ibu Bruno, Laurence Lalande memaklumkan kepada Martine Tellier (guru dan pengetua di tadika anaknya) bahawa Bruno telah mula membaca seawal umur dua setengah tahun. Tellier mendapati Bruno mempunyai minat yang berbeza dengan kanak-kanak lain. Bagaimanapun beberapa tahun kemudian, guru-guru mendapati Bruno tidak berminat untuk hadir ke sekolah.

Pada hari pertama di sekolah rendah, Bruno berasa pening. Selepas berjumpa dengan doktor, Bruno dikesan mengalami masalah pernafasan yang berpunca daripada kecemasan melampau.

Bruno akhirnya dipertemukan dengan seorang ahli psikologi bernama Arielle Adda yang merumuskan Bruno seorang kanak-kanak pintar. Tellier dimaklumkan tentang perkara ini dan sebagai pengetua, beliau membenarkan Bruno memasuki gred kedua walaupun keputusan itu dibantah oleh majlis guru.

Secara kebetulan, Tellier merupakan guru kepada Bruno yang kini berusia lima setengah tahun. Hasil penemuan mendapati Bruno merupakan seorang kanak-kanak pintar menyebabkan perkembangannya sering diperhatikan.

Hubungan Tellier dan Laurence Lalande menjadi semakin rapat dan mereka berusaha mencari inisiatif untuk membantu Bruno.

Hasilnya, Tellier dan Laurence Lalande merumuskan perlunya diwujudkan sebuah institusi kanak-kanak pintar di Perancis.

Leonard De Vinci yang dikunjungi Rosmah sempena lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Perancis itu, kini menempatkan 125 kanak-kanak dari peringkat tadika hingga sekolah menengah.

Sekolah ini mendapat pengiktirafan daripada kerajaan dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO). Pencapaian ini mendorong Laurence Lalande dan Martine Tellier untuk mengembangkan konsep pembelajaran sekolah ini ke peringkat kebangsaan serta mewujudkan lebih banyak sekolah di seluruh Perancis.

Lawatan Rosmah ke sekolah berkenaan difahamkan mempunyai kaitan dengan program Pusat Anak Permata Negara (Permata) yang bermatlamat meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.

Ketika ini sebanyak 18,000 kanak-kanak di Malaysia mendapat manfaat daripada perluasan program Permata yang diketuai Rosmah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata - dengan penubuhan 478 pusat asuhan dan didikan awal itu sepanjang tahun ini.

Ironinya, umur tiga tahun kanak-kanak sangat kritikal terutama dalam perkembangan personaliti dan minda.

Kerana itu pengalaman pembelajaran yang sesuai di samping pengasuhan yang baik perlu disediakan untuk memastikan kanak-kanak membesar dan berkembang secara holistik dan seimbang.

Pengalaman pembelajaran ini akan merangsang pembinaan hubungan neuron yang banyak dalam otak kanak-kanak dan hasilnya - lahirlah individu yang bijaksana dan cemerlang.

Bagi Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob, kanak-kanak yang bijaksana dan cemerlang adalah aset negara.

"Merekalah modal insan negara yang akan menerajui pembangunan negara pada masa depan. Oleh sebab itu, pendidikan awal amat penting bagi melahirkan modal insan yang cerdas minda (IQ tinggi), cerdas emosi (EQ tinggi), cerdas rohani (SQ tinggi), cerdas sosial dan fizikal," kata beliau kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kesemua inilah falsafah Program Permata negara, kata beliau, sambil menjelaskan projek berkenaan lahir daripada buah fikiran Rosmah. Beliau adalah pencetus idea projek tersebut sejak 2006 yang akhirnya tertubuh Pusat Penyelidikan Perkembangan KanakKanak Negara atau NCDRC di UPSI pada 21 Jun 2007.

Menurut Aminah, Program Perintis Setiap Anak Permata Negara (ringkasnya Program Permata) bertujuan melahirkan kanak-kanak yang holistik dan seimbang; mempunyai akhlak dan sahsiah yang mulia, berintelektual tinggi, mahir berkomunikasi, dalam keduadua bahasa - Bahasa Malaysia dan Inggeris, bijak bergaul, sihat jasmani dan suci rohani.

Umumnya, kanak-kanak pintar mempunyai tahap IQ melebihi 130. IQ ini bagaimanapun tidak menilai tahap intelektual seseorang kanak-kanak tetapi ia menilai kebolehan intelektual mereka.

Pendek kata, kanak-kanak pintar tidak bermakna dia lebih cerdik berbanding orang lain. Apa yang membezakan ialah mindanya boleh berfikir dan menaakul.

Mari kita bandingkan seorang kanak-kanak pintar dari segi intelek (IQ lebih 130) dengan seorang lagi yang inteleknya terbantut (IQ kurang 70).

Ia merupakan sesuatu yang mustahil untuk menggunakan teknik pengajaran sama untuk mengajar seorang kanak-kanak biasa (IQ 100) dan seorang kanak-kanak yang inteleknya terbantut.

Kanak-kanak yang inteleknya terbantut tidak akan menunjukkan sebarang kemajuan sekiranya teknik pengajaran yang digunakan tidak selari dengan momentum belajarnya.

Sebarang usaha untuk mengintegrasikan kanak-kanak ini dengan program pengajaran yang standard mungkin membantutkan proses pengajarannya.

Sistem sekolah justeru perlu menyesuaikan proses pembelajaran dengan ciri-ciri intelektual seseorang pelajar.

Keadaan yang sama berlaku ke atas seorang kanak-kanak yang pintar, di mana mereka ini berbeza dengan pelajar lain.

Ciri-ciri istimewa itu perlu diambil berat supaya intelek dan psikologi seseorang kanak-kanak berbakat itu boleh dikembangkan sepenuhnya.

Satu kajian ke atas kanak-kanak pintar di Perancis menunjukkan hampir separuh daripada mereka perlu mengulangi kelas selama setahun dan 20 peratus daripada mereka tercicir sebelum peringkat pra universiti.

Keadaan ini amat bertentangan dengan tanggapan umum bahawa kanak-kanak pintar mempunyai potensi intelek yang tinggi.

Kajian lain pula menunjukkan kanak-kanak pintar ini telah melepaskan watak asal mereka. Semasa di sekolah rendah, kanak-kanak pintar yang tidak dikesan akan dipaksa menjalani pembelajaran mengikut standard sekolah yang biasa. Dalam kebanyakan kes, situasi ini mewujudkan tentangan kanak-kanak pintar terhadap sistem sekolah.

Rumusannya - Program perintis Permata sangat berkesan (setakat ini) bagi melahirkan individu kanak-kanak yang holistik dan baik. Ia menjadi modal insan negara pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

bee